Assalamualaikum w.b.t.
okay. ini adalah cubaan pertama Kyu dalam bidang penulisan. Kyu memang tak pandai dalam bab penulisan ni, sumpah tak tipu! yelah, selama ni manalah pernah ambik bidang sastera ni, tetibe nak nulis pulak, rasa macam Maritian yang tetiba mendarat dekat bumi. Eh.
sebelum tu.
cerpen ni tak heavy tak light sangat. so-so jer. satu lagi, jangan ambik serius sangat dengan cerpen ni. Takde kena mengena dgn yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia. hanya rekaan semata-mata. bolehlah dilayan dipetang hari sambil makan biskut oreo cicah kopi mahkota dewa. Kah.
sebarang komen atau pandangan boleh jerit kat bawah. kalau anon semua ada idea yang bernas lagi mengeniuskan, bolehlah kongsi-kongsi kat bawah ye! *peace*
bismillah...
NUR SYAZANA
Bunyi nyaring loceng menandakan sesi pembelajaran telah
pun berakhir. Aku bingkas bangkit, mengemas baranganku lantas mengatur langkah
untuk pulang.
“Fad! Fadlan!” aku berpaling mendengarkan namaku dilaung. Melihatkan si
pemanggil itu membuatkan aku mengeluh.
Dapat ku agak apa yang akan dikatakannya.
“petang ni ada latihan, bukan” ujarku, sekadar menduga.
Shafiq hanya tersengih. Huh, persis kerang busuk!
“ingat tu, macam
biasa ya!” dia menepuk bahuku sebelum beredar. Aku hanya memerhati susuk
tubuhnya yang semakin menjauh. Nampaknya, sekali lagi aku perlu melupakan
rancanganku untuk makan di rumah. Disebabkan jarak rumah dan sekolah yang
begitu jauh, aku terpaksa menaiki bas ke sekolah dan jika ada aktiviti petang
sebegini, terpaksalah aku tunggu di sekolah sahaja memandangkan tiada siapa
yang dapat menghantarku untuk menghadiri latihan.
Aku mengatur langkah ke surau dan menunaikan solat zohor. Perut yang berkeroncong
minta diisi kutahan. pelajar-pelajar sudah ramai yang pulang dan kini yang tinggal
hanyalah aku seorang, termangu-mangu kebosanan. Lantas, aku membuka buku untuk
menyiapkan latihan yang diberi oleh cikgu.
“mana bekas pensel ni? Mesti tertinggal bawah meja!” aku
mengeluh perlahan. mahu tak mahu, terpaksalah aku melangkah ke kelasku iaitu
blok yang paling belakang sekali. Aku melangkah lambat sambil mulutku merungut
atas kecuaian diriku sendiri. Melihatkan suasana sekeliling yang sunyi sepi,
membuatkan bulu romaku sedikit meremang.
Namun, digagahkan jua kaki ini untuk terus melangkah.
Tiba sahaja di depan blok, tiba-tiba satu perasaan aneh
kurasakan. Aku menelan liur. Satu-persatu anak tangga kudaki sehinggalah
badanku kini berdiri betul-betul di hadapan kelasku. aku menghela nafas. Lega!
Mungkin perasaan aneh tadi kerana aku terlalu memikirkan yang bukan-bukan.
Lantas, setelah mencapai bekas pensel di dalam laci, aku melangkah keluar
kelas.
“warghh!!!” aku terdorong ke belakang sehingga terlanggar
pintu kelas. Punggungku terasa pijar dan kepalaku senak. Seorang gadis sedang
berdiri sambil tersenyum di hadapanku.
“er... a..awakk ni siapa!?
Mm..macam mana awak boleh ada kat sini!?” aku menelan liur. Jantungku berdegup
pantas bagai hendak pecah.
Gadis itu ketawa.
Lembut. Dia mendekati dan memandangku, “sepatutnya, saya yang tanya awak, awak buat
apa kat sini?”. Matanya yang menatapku membuatkan aku gugup. Aku tunduk. Siapa
perempuan ni? Melihatkan gadis itu masih berseragam sekolah sama seperti diriku,
membuatkan aku terfikir, mungkin dia juga ada perkara yang menghalangnya untuk
pulang ke rumah.
Bingkas aku bangun, menyapu debu yang melekat di seluar
dan bajuku. “rasanya lebih baik awak
balik, tak elok awak kat sini sorang-sorang. Awak tu perempuan.” Ujarku, masih
lagi menyembunyikan rasa gugupku. Entahlah, renungan matanya tadi membuatkan
hatiku berdebar.
“tak apa, awak kan ada,” dia tersenyum lagi.
“saya ni lelaki, awak tak takut?” Ugutku. Sekadar
menakutkannya. Memang tidak elok jika dia bersendirian di sini. Lebih-lebih
lagi ini adalah bangunan yang paling belakang. Sebarang kemungkinan boleh
berlaku.
“saya...percayakan...awak! saya tahu awak baik, lagipun,
saya suka duduk sini sampai petang,” perlahan-lahan dia melangkah, menuju ke ruang
di hujung koridor.
“memerhatikan matahari yang makin jingga, sehinggalah ianya
tenggelam di balik bukit-bukau tu, cantik!” dia menongkat dagu.
“ALLAH tu Maha Berkuasa kan? DiciptaNya
bintang besar ni dengan cukup indah sekali. Cahayanya tersebar di segenap ruang
dunia.”
Kupandang wajahnya yang kusyuk memandang langit.
Matanya yang coklat keperangan kelihatan bercahaya dipanah mentari. Ya, memang
cantik.
“kenapa?” ujarnya.
Terus aku melarikan anak mataku. Tidak mahu dikesan menatapnya.
Aku mengerling ke arah jam tanganku. Jarum pendek sudah menunjuk ke angka 4.
“saya kena pergi, ada latihan.” aku berlalu
meninggalkannya yang masih memandang langit. Makin lama aku di sini, makin
berdebar rasa hatiku. Entah kenapa, katanya-katanya tadi seolah-olah berentak
senada bersama degupan jantungku.
“err....saya Nur Syazana, awak?” gadis itu melaung ke
arahku dari atas bangunan blok.
Aku mendongak memandangnya dari bawah.
“Fadlan,”
“SHAFIQ, kau kenal tak
perempuan nama Nur Syazana?”
Shafiq yang sedang menikmati hidangan menghentikan
suapannya. Garfu di tangannya diletakkan. “Nur Syazana yang mana satu? Di
sekolah ini berpuluh orang dengan nama Nur Syazana. Nur Syazana Ariffin, Nur Syazana
Munirah, Nur Syazana Suhada...”
Aku menongkat dagu. Ada benarnya juga kata-kata Shafiq
itu. nama Nur Syazana bukanlah dia seorang saja. Mana mungkin aku dapat
mencarinya sedangkan aku tidak mengetahui apa-apa tentang dirinya. mungkin
semalam cuma pertemuan yang tidak memberi apa-apa makna, sekadar kebetulan.
Tetapi, jauh di sudut hatiku, aku ingin bertemu dia lagi, bertanya tentang
dirinya, berbual dan melihat mata indah itu lagi.
Agaknya... bolehkah?
“oh, sebelum terlupa, petang ni latihan batal, coach mc.”
Shafiq mengangkat pinggannya lantas menuju ke singki. Kelihatan beberapa orang
pelajar juga sudah mula mengangkat punggung meninggalkan ruangan kantin
memandangkan waktu rehat sudah hampir tamat.
Latihan...batal. penyataan itu agak mengecewakanku.
MASA terus berlalu dan
entah kenapa, aku masih berdiri di sini.
Walaupun pada mulanya aku ragu-ragu, tanpa aku sedari, kakiku telah melangkah membawaku ke sini. Ya, di
hadapan blok belakang. Waktu itu jam sudah menunjuk ke angka 3. Dan... ya,
ianya mengambil masa yang lama untuk
memutuskan keputusan sama ada aku patut pulang atau pergi ke blok belakang ini.
akhirnya bas yang bergerak meninggalkanku seolah-olah memberi jawapan bagi
kekusutanku. Apakah aku terlalu berharap untuk bertemu Nur lagi? Tapi kenapa?
ada sesuatu yang mendesak mindaku seolah-olah menampal wajah dan senyuman Nur
di benakku.
Di anak tangga teratas, dari jauh aku dapat lihat Nur,
sama seperti kelmarin, di hujung koridor dan masih lagi merenung mentari.
Perlahan-lahan aku mendekatinya.
“awak lagi?” Nur tersenyum ke arahku.
Aku cuba membalas senyumannya. Mujurlah, dia di sini.
Entah kenapa, aku berasa betul-betul gembira. Keputusanku untuk ke sini adalah
tepat.
“kenapa awak datang sini lagi? Tertinggal barang lagi?”
dia ketawa sinis, mengejek.
Pertanyaannya membuatkan aku sedikit termalu. Perlukah
aku memberitahunya hal sebenar? Ke sini bertujuan untuk berjumpanya?
“masih merenung mentari?” soalku lantas mengambil tempat
di sisinya. Mataku turut sama menjamah langit, memerhati cahaya yang galak memancar.
Burung-burung beterbangan bebas, saling berkejaran sesama sendiri dan menghilang
di celah-celah pohon rendang.
Nur hanya tersenyum lembut.
“err... boleh saya tahu tentang diri awak?” ujarku tanpa
memandang wajahnya.
Dari ekor mataku, kulihat dia berpaling memandangku. Aku
turut sama memberanikan diri, berpaling dan bertentang dengan mata yang indah
itu. sekali lagi, jantungku berdetak laju.
“tentang saya?”
Aku mengangguk. Lantas, dia menceritakan serba sedikit
tentang dirinya. Pada pandanganku hanya bibirnya sahaja yang bergerak tanpa
suara. kerana selebihnya,bunyi degupan jantungku bagaikan memenuhi ruang rongga
telingaku sehingga menenggelamkan suara lembutnya.
“awak pula?” soalannya mematikan lamunanku. Sekali lagi
aku termalu. Aku cuba sembunyikan rasa seganku dengan memandang langit.
Kelihatan matahari sembunyi di balik awan. Lantas aku tersenyum. Matahari
seolah-olah memerliku!
“keluarga saya berpindah ke sini atas urusan kerja awal
tahun ni. Memandangkan saya baru bertukar ke sini, jadi tak banyak yang saya
tahu tentang sekolah ni, saya pun tak
punya ramai kawan lagi.”
Aku terus bercerita mengenai diriku. Tentang sekolah
lamaku, peperiksaan SPM yang bakal kujalani hujung tahun ini. dia kusyuk
mendengar ceritaku, sesekali kulihat dia ketawa kecil apabila aku merungut
berkenaan latihan bola tiap-tiap petang.
Tanpa aku sedari, jam sudah menunjuk ke angka 6.
“dah petang. Saya perlu balik. Awak?” aku bangun dan
mencapai beg sandang.
“sekejap lagi.” Katanya.
Nur menghantar ku pergi dengan senyuman. Jauh di sudut hatiku,
aku begitu risau, akan keselamatan dirinya.
Dan...harap-harap esok kami dapat ketemu lagi..
DAN hari-hari terus
berlalu barsamaku yang setia menemani Nur. Tiap-tiap petang, bercerita mengenai
mentari, sinarnya sehingga aku sendiri tidak sedar, perasaanku kepadanya
semakin kuat. Makin bercambah dari hari ke hari. Melihatkan lenggok bicaranya
yang lembut dan matanya yang sentiasa bersinar, cukup membuatkan aku tertawan
padanya.
“nampaknya musim tengkujuh
dah dekat, sedihnya...” Nur mengeluh.
Aku memandang langit.
Kelihatan matahari bersembunyi di balik awan mendung. Cahaya jingganya hanya
kelihatan pecah-pecah di balik awan-awan besar. Suasana sekeliling juga
kelihatan agak suram. Daun-daun lalang bergerak sayu dipupuk angin petang.
“fadlan... boleh tak saya
nak minta sesuatu pada awak?” tiba-tiba Nur bersuara memecah keheningan.
“awak nak minta apa?”
Bibir Nur mengukir
senyuman manis. “saya nak...”
“Saya nak matahari tu.
Saya nak awak ambil ambil matahari tu untuk saya, boleh?”
Aku tersentak.
Mm...ma..matahari!? berguraukan Nur?macam mana aku nak capai matahari tu? Belum
sempat aku dekati, mungkin jadi abu dahulu tubuhku ini. mustahil! Memang amat
mustahil.
Tiba-tiba Nur ketawa. Kuat
tapi lembut. Aku menggaru kepala. Tahulah yang aku sudah dipermainkannya. Mana
mungkin manusia boleh mencapai mentari. Aku juga turut tersenyum. Ada-ada
sahaja Nur ini!
“fadlan... tolong....”
“tolong jangan lupakan Nur,
ya?”
Lambat-lambat aku senyum.
Kata-kata Nur membuatkan air liur yang kutelan terasa pahit. Apakah Nur mahu
meninggalkanku? Tak mahu lagikah dia ke sini, berbual bersamaku sambil memuji
langit ciptaan Ilahi? Hatiku terasa gusar. Ingin sahaja kuluahkan apa yang terbuku
di hatiku. Luahkan perasaanku yang sudah terpaut padanya.
Namun, suaraku bagaikan
tersekat di kerongkong. Aku tak cukup bersedia! Aku tak cukup bersedia untuk
mengucapkannya. Aku takut, apa yang kurasa ini tidak sama dengan apa yang Nur
rasa. Kalau Nur menolak cintaku, aku tidak pasti, apakah hubungan kami akan
kekal sebagai kawan seperti kini? Semestinya rasa malu yang menebal membuatkan
aku tidak selesa lagi untuk berjumpanya. Keadaan akan menjadi canggung!
Tak! Aku tak sanggup. Aku
tak sanggup kehilangan Nur. biarlah rasa hati ini ku simpan dahulu.
Biarlah takdir yang memberi jawapannya.
“Fad, Fad” dari jauh
kulihat Shafiq berlari menuju ke arahku. Dia memegang bahuku, sedikit
termengah-mengah. Waktu itu, aku baru usai menukar kasutku, bersedia untuk
mengikuti latihan bola bersama sahabatku yang lain.
“kenapa Fiq? Seperti
dikejar hantu saja!?” soalku.
“hari tu, kau pernah tanya
aku tentang gadis nama Nur Syazana kan?” soalan Shafiq agak menghairankanku.
Kenapa tiba-tiba sahaja dia menyentuh hal berkenaan aku dan Nur? serasaku, tak
pernah pula dia ambil peduli tentang itu selama ini.
“Nah, baca artikel ini.
aku jumpanya dalam bilik guru, sewaktu membantu Cikgu Haris menyusun buku,” dia
menyerahkanku satu artikel yang kelihatan agak usang. Lantas, artikel itu
bertukar tangan. Kubaca kandungan artikel tersebut.
Aku tergamam. Nadiku seolah-olah
berhenti. Seluruh tubuhku menggeletar. Benarkah apa yang terpampang di sini?
Tapi semua ini agak mustahil! Lantas, aku berlari menuju ke blok
belakang,pantas mataku mencari susuk tubuh Nur.
Ternyata Nur masih di
tempat biasa. Menyedari kehadiranku, dia berpaling sambil mengulum senyuman.
Aku hanya diam. Melihatkan matanya yang bersinar dan senyuman manisnya itu
membuatkan aku hanya mampu terus membisu. Aku buntu! Segalanya seakan-akan di
luar realiti!! Ahh,, hatiku pedih!
“kenapa ni?” Nur memandang artikel yang kupegang. “apa
itu?” Perlahan-lahan dia menarik artikel itu dari tanganku. Kulihat, riak
wajahnya mula berubah setelah membaca artikel tersebut.
“betulkah? Tapi...” kulihat
tangan Nur terketar-ketar. Wajahnya yang selama ini tenang kelihatan keliru.
Aku sendiri menjadi hairan, masakan dia sendiri tidak menyedari akan
kewujudannya? “Nur...” aku menyeru lembut namanya. Ada air jernih menitis dari
lopak matanya. Aku diburu rasa bersalah.
Nur berlari meninggalkanku.
Aku cuba mengejar, namun sewaktu menuruni anak tangga, kakiku tergelincir
sebelum badanku terhempap jatuh ke lantai konkrit. Kepalaku terasa
berdenyut-denyut. Aku cuba memanggil Nur namun suaraku bagaikan tersekat di
kerongkong. kulihat bayang Nur yang semakin menjauh... seakan cahaya yang makin
menghilang.
Segalanya gelap.
Aku membuka mata. Cahaya
lampu yang terang menyilaukan mataku.
Coach pasukan bolaku, cikgu Razif sedang tersenyum. Abah dan mama juga
berdiri di birai katilku. Di satu sudut, kulihat Shafiq sedang merenungku,
sambil berpeluk tubuh. Aku meraba-raba kepalaku. Berbalut. Apa yang telah
berlaku? Aku kurang pasti. Tiba-tiba mindaku bergerak pantas, seolah-olah
melintasi ruang waktu. Kejadian tadi terulang di benakku.
“Fadlan okey? Tak perlu
risau, kepala kamu hanya luka ringan. Mujur Shafiq menemuimu tadi. Segera kami
bawa kamu ke hospital. Sebenarnya apa
yang telah berlaku di blok belakang tadi?” Cikgu Razif memegang bahuku.
Lidahku kelu. Bagaimana
harus kuceritakan semua ini. pasti semua orang akan menganggapku gila. Tapi aku
pasti! Nur benar-benar wujud. Bukan pernah wujud namun masih lagi wujud.
Perlukah semua ini kubongkar? Mahukah mereka percaya kata-kataku?
“saya....”
“maaf, saya tak ingat.”
Bohongku.
Aku tunduk, tidak mampu
menentang mata-mata yang sedang memandangku kini.
Beberapa ketika kemudian,
masing-masing keluar dari bilik hospital, tinggallah aku dan Shafiq, masih diam
tidak berkutik. Suasana sepi menyelubungi kami.
Masih lagi sepi. Aku tidak
tahu bagaimana untuk bersuara. Lantas, aku berpaling, menghadap tingkap yang
separuh terbuka. langit yang tadinya biru semakin menjingga. Sang mentari juga
mula mengudur diri di balik bukit. Burung-burung beterbangan, kembali ke sarang
di celah-celah rimbunan pohon. Senja.
“aku tak gila. Aku pasti,
Nur itu bukan khayalan semata. Nur bukan hantu. Nur bukan roh!” aku memecah
keheningan. Suaraku agak kutekan sedikit di hujung bicara.
Dari ekor mata, kulihat
Shafiq melepaskan keluhan berat. Pelahan-lahan dia melangkah ke birai tingkap.
Merenung ke luar juga.
“Nur Syazana... pelajar
tingkatan empat, 5 tahun yang lepas. Cantik, ramah, lembut.mayatnya dijumpai di
blok belakang oleh pengawal keselamatan. Tiada siapa yang tahu sebab sebenar.
Ada yang kata dia dibunuh,” Shafiq mengulangi kandungan artikel tersebut.
Mengingatkan wajah Nur yang terpampang pada muka artikel membuatkan badanku
menggeletar.
Aku menggeleng. “Tak! Tak
mungkin! semuanya luar logik akal! Aku tak gila untuk bercakap dengan hantu!
Karut! Semua ni mengarut”
Perlahan lahan air mataku
mengalir jatuh. Bahuku terhenjut-henjut menahan sendu. Shafiq duduk di
sebelahku, cuba menenangkanku. Hatiku sakit! Sakit sangat. Kenyataan yang harus
kutempuh di luar kemampuanku. Jauh, di sudut hatiku, aku berharap semua ini
hanyalah mimpi semata-mata. Itu lebih baik untukku yang kini terpaksa mengusung
memori ini.
HUJAN lebat mulai reda,
meninggalkan lopak-lopak air pada lantai bumi. Awan mendung berarak pulang.
Pohon-pohon basah menitiskan air di hujung daun. Lalang-lalang yang juga
kebasahan tunduk menyembah bumi, tidak lagi menari seperti petang-petang lepas.
Dan, aku masih lagi di situ, berseorangan mengutip cebisan-cebisan kenangan
yang Nur tinggalkan. Di blok ini juga, aku menatap mentari seperti kebiasaan
Nur lalui. Setiap hari, setiap petang. Hatiku memuji kuasa ciptaan Ilahi. Rasa
kagum yang Nur tinggalkan seolah-olah meresap ke dalam jiwaku, menjadi sifat
yang secara langsung tidak kusedari. Mentari senja mula meniti dikaki bukit,
semakin tenggelam, membawa bersama ‘nur’ yang makin hilang.
No comments:
Post a Comment