nuffnang code

Wednesday 12 August 2015

Cerpen - Cubaan Pertama


Assalamualaikum w.b.t.


okay. ini adalah cubaan pertama Kyu dalam bidang penulisan. Kyu memang tak pandai dalam bab penulisan ni, sumpah tak tipu! yelah, selama ni manalah pernah ambik bidang sastera ni, tetibe nak nulis pulak, rasa macam Maritian yang tetiba mendarat dekat bumi. Eh.


sebelum tu.

 cerpen ni tak heavy tak light sangat. so-so jer. satu lagi, jangan ambik serius sangat dengan cerpen ni. Takde kena mengena dgn yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia. hanya rekaan semata-mata. bolehlah dilayan dipetang hari sambil makan biskut oreo cicah kopi mahkota dewa. Kah.

sebarang komen atau pandangan boleh jerit kat bawah. kalau anon semua ada idea yang bernas lagi mengeniuskan, bolehlah kongsi-kongsi kat bawah ye! *peace*



bismillah...


NUR SYAZANA


                Bunyi nyaring loceng menandakan sesi pembelajaran telah pun berakhir. Aku bingkas bangkit, mengemas baranganku lantas mengatur langkah untuk pulang.

            “Fad! Fadlan!” aku berpaling  mendengarkan namaku dilaung. Melihatkan si pemanggil itu membuatkan  aku mengeluh. Dapat ku agak apa yang akan dikatakannya.

            “petang ni ada latihan, bukan” ujarku, sekadar menduga.

            Shafiq hanya tersengih. Huh, persis kerang busuk!

            “ingat tu, macam  biasa ya!” dia menepuk bahuku sebelum beredar. Aku hanya memerhati susuk tubuhnya yang semakin menjauh. Nampaknya, sekali lagi aku perlu melupakan rancanganku untuk makan di rumah. Disebabkan jarak rumah dan sekolah yang begitu jauh, aku terpaksa menaiki bas ke sekolah dan jika ada aktiviti petang sebegini, terpaksalah aku tunggu di sekolah sahaja memandangkan tiada siapa yang dapat menghantarku untuk menghadiri latihan.

            Aku mengatur langkah ke surau dan  menunaikan solat zohor. Perut yang berkeroncong minta diisi kutahan. pelajar-pelajar sudah ramai yang pulang dan kini yang tinggal hanyalah aku seorang, termangu-mangu kebosanan. Lantas, aku membuka buku untuk menyiapkan latihan yang diberi oleh cikgu.

            “mana bekas pensel ni? Mesti tertinggal bawah meja!” aku mengeluh perlahan. mahu tak mahu, terpaksalah aku melangkah ke kelasku iaitu blok yang paling belakang sekali. Aku melangkah lambat sambil mulutku merungut atas kecuaian diriku sendiri. Melihatkan suasana sekeliling yang sunyi sepi, membuatkan bulu romaku sedikit meremang.  Namun, digagahkan jua kaki ini untuk terus melangkah.

            Tiba sahaja di depan blok, tiba-tiba satu perasaan aneh kurasakan. Aku menelan liur. Satu-persatu anak tangga kudaki sehinggalah badanku kini berdiri betul-betul di hadapan kelasku. aku menghela nafas. Lega! Mungkin perasaan aneh tadi kerana aku terlalu memikirkan yang bukan-bukan. Lantas, setelah mencapai bekas pensel di dalam laci, aku melangkah keluar kelas.

            “warghh!!!” aku terdorong ke belakang sehingga terlanggar pintu kelas. Punggungku terasa pijar dan kepalaku senak. Seorang gadis sedang berdiri sambil tersenyum di hadapanku.
“er... a..awakk ni siapa!? Mm..macam mana awak boleh ada kat sini!?” aku menelan liur. Jantungku berdegup pantas bagai hendak pecah.

              Gadis itu ketawa. Lembut. Dia mendekati dan memandangku,  “sepatutnya, saya yang tanya awak, awak buat apa kat sini?”. Matanya yang menatapku membuatkan aku gugup. Aku tunduk. Siapa perempuan ni? Melihatkan gadis itu masih berseragam sekolah sama seperti diriku, membuatkan aku terfikir, mungkin dia juga ada perkara yang menghalangnya untuk pulang ke rumah.

            Bingkas aku bangun, menyapu debu yang melekat di seluar dan bajuku.  “rasanya lebih baik awak balik, tak elok awak kat sini sorang-sorang. Awak tu perempuan.” Ujarku, masih lagi menyembunyikan rasa gugupku. Entahlah, renungan matanya tadi membuatkan hatiku berdebar.

            “tak apa, awak kan ada,” dia tersenyum lagi.

            “saya ni lelaki, awak tak takut?” Ugutku. Sekadar menakutkannya. Memang tidak elok jika dia bersendirian di sini. Lebih-lebih lagi ini adalah bangunan yang paling belakang. Sebarang kemungkinan boleh berlaku.

            “saya...percayakan...awak! saya tahu awak baik, lagipun, saya suka duduk sini sampai petang,” perlahan-lahan dia melangkah, menuju ke ruang di hujung koridor.
            “memerhatikan matahari yang makin jingga, sehinggalah ianya tenggelam di balik bukit-bukau tu, cantik!” dia menongkat dagu.

 “ALLAH tu Maha Berkuasa kan? DiciptaNya bintang besar ni dengan cukup indah sekali. Cahayanya tersebar di segenap ruang dunia.”

              Kupandang  wajahnya yang kusyuk memandang langit. Matanya yang coklat keperangan kelihatan bercahaya dipanah mentari. Ya, memang cantik.

            “kenapa?” ujarnya.

            Terus aku melarikan anak mataku. Tidak mahu dikesan menatapnya. Aku mengerling ke arah jam tanganku. Jarum pendek sudah menunjuk ke angka 4.

            “saya kena pergi, ada latihan.” aku berlalu meninggalkannya yang masih memandang langit. Makin lama aku di sini, makin berdebar rasa hatiku. Entah kenapa, katanya-katanya tadi seolah-olah berentak senada bersama degupan jantungku.

            “err....saya Nur Syazana, awak?” gadis itu melaung ke arahku dari atas bangunan blok.
            Aku mendongak memandangnya dari bawah.

            “Fadlan,”




“SHAFIQ, kau kenal tak perempuan nama Nur Syazana?”
            Shafiq yang sedang menikmati hidangan menghentikan suapannya. Garfu di tangannya diletakkan. “Nur Syazana yang mana satu? Di sekolah ini berpuluh orang dengan nama Nur Syazana. Nur Syazana Ariffin, Nur Syazana Munirah, Nur Syazana Suhada...”

            Aku menongkat dagu. Ada benarnya juga kata-kata Shafiq itu. nama Nur Syazana bukanlah dia seorang saja. Mana mungkin aku dapat mencarinya sedangkan aku tidak mengetahui apa-apa tentang dirinya. mungkin semalam cuma pertemuan yang tidak memberi apa-apa makna, sekadar kebetulan. Tetapi, jauh di sudut hatiku, aku ingin bertemu dia lagi, bertanya tentang dirinya, berbual dan melihat mata indah itu lagi.
 Agaknya... bolehkah?

            “oh, sebelum terlupa, petang ni latihan batal, coach mc.” Shafiq mengangkat pinggannya lantas menuju ke singki. Kelihatan beberapa orang pelajar juga sudah mula mengangkat punggung meninggalkan ruangan kantin memandangkan waktu rehat sudah hampir tamat.

            Latihan...batal. penyataan itu agak mengecewakanku.




MASA terus berlalu dan entah kenapa, aku masih berdiri di sini.  Walaupun pada mulanya aku ragu-ragu, tanpa aku sedari, kakiku  telah melangkah membawaku ke sini. Ya, di hadapan blok belakang. Waktu itu jam sudah menunjuk ke angka 3. Dan... ya, ianya mengambil masa yang lama  untuk memutuskan keputusan sama ada aku patut pulang atau pergi ke blok belakang ini. akhirnya bas yang bergerak meninggalkanku seolah-olah memberi jawapan bagi kekusutanku. Apakah aku terlalu berharap untuk bertemu Nur lagi? Tapi kenapa? ada sesuatu yang mendesak mindaku seolah-olah menampal wajah dan senyuman Nur di benakku.

            Di anak tangga teratas, dari jauh aku dapat lihat Nur, sama seperti kelmarin, di hujung koridor dan masih lagi merenung mentari. Perlahan-lahan aku mendekatinya.

            “awak lagi?” Nur tersenyum ke arahku.

            Aku cuba membalas senyumannya. Mujurlah, dia di sini. Entah kenapa, aku berasa betul-betul gembira. Keputusanku untuk ke sini adalah tepat.

            “kenapa awak datang sini lagi? Tertinggal barang lagi?” dia ketawa sinis, mengejek.
            Pertanyaannya membuatkan aku sedikit termalu. Perlukah aku memberitahunya hal sebenar? Ke sini bertujuan untuk berjumpanya?

            “masih merenung mentari?” soalku lantas mengambil tempat di sisinya. Mataku turut sama menjamah langit, memerhati cahaya yang galak memancar. Burung-burung beterbangan bebas, saling berkejaran sesama sendiri dan menghilang di celah-celah pohon rendang.

            Nur hanya tersenyum lembut.

            “err... boleh saya tahu tentang diri awak?” ujarku tanpa memandang wajahnya.
            Dari ekor mataku, kulihat dia berpaling memandangku. Aku turut sama memberanikan diri, berpaling dan bertentang dengan mata yang indah itu. sekali lagi, jantungku berdetak laju.

            “tentang saya?”

            Aku mengangguk. Lantas, dia menceritakan serba sedikit tentang dirinya. Pada pandanganku hanya bibirnya sahaja yang bergerak tanpa suara. kerana selebihnya,bunyi degupan jantungku bagaikan memenuhi ruang rongga telingaku sehingga menenggelamkan suara lembutnya.

            “awak pula?” soalannya mematikan lamunanku. Sekali lagi aku termalu. Aku cuba sembunyikan rasa seganku dengan memandang langit. Kelihatan matahari sembunyi di balik awan. Lantas aku tersenyum. Matahari seolah-olah memerliku!

            “keluarga saya berpindah ke sini atas urusan kerja awal tahun ni. Memandangkan saya baru bertukar ke sini, jadi tak banyak yang saya tahu tentang sekolah ni,  saya pun tak punya ramai kawan lagi.”

            Aku terus bercerita mengenai diriku. Tentang sekolah lamaku, peperiksaan SPM yang bakal kujalani hujung tahun ini. dia kusyuk mendengar ceritaku, sesekali kulihat dia ketawa kecil apabila aku merungut berkenaan latihan bola tiap-tiap petang.

            Tanpa aku sedari, jam sudah menunjuk ke angka 6.

            “dah petang. Saya perlu balik. Awak?” aku bangun dan mencapai beg sandang.
            “sekejap lagi.” Katanya.

            Nur menghantar ku pergi dengan senyuman. Jauh di sudut hatiku, aku begitu risau, akan keselamatan dirinya.


            Dan...harap-harap esok kami dapat ketemu lagi..





DAN hari-hari terus berlalu barsamaku yang setia menemani Nur. Tiap-tiap petang, bercerita mengenai mentari, sinarnya sehingga aku sendiri tidak sedar, perasaanku kepadanya semakin kuat. Makin bercambah dari hari ke hari. Melihatkan lenggok bicaranya yang lembut dan matanya yang sentiasa bersinar, cukup membuatkan aku tertawan padanya.

“nampaknya musim tengkujuh dah dekat, sedihnya...” Nur mengeluh.

Aku memandang langit. Kelihatan matahari bersembunyi di balik awan mendung. Cahaya jingganya hanya kelihatan pecah-pecah di balik awan-awan besar. Suasana sekeliling juga kelihatan agak suram. Daun-daun lalang bergerak sayu  dipupuk angin petang.

“fadlan... boleh tak saya nak minta sesuatu pada awak?” tiba-tiba Nur bersuara memecah keheningan.

“awak nak minta apa?”

Bibir Nur mengukir senyuman manis. “saya nak...”

“Saya nak matahari tu. Saya nak awak ambil ambil matahari tu untuk saya, boleh?”

Aku tersentak. Mm...ma..matahari!? berguraukan Nur?macam mana aku nak capai matahari tu? Belum sempat aku dekati, mungkin jadi abu dahulu tubuhku ini. mustahil! Memang amat mustahil.

Tiba-tiba Nur ketawa. Kuat tapi lembut. Aku menggaru kepala. Tahulah yang aku sudah dipermainkannya. Mana mungkin manusia boleh mencapai mentari. Aku juga turut tersenyum. Ada-ada sahaja Nur ini!

“fadlan... tolong....”

“tolong jangan lupakan Nur, ya?”

Lambat-lambat aku senyum. Kata-kata Nur membuatkan air liur yang kutelan terasa pahit. Apakah Nur mahu meninggalkanku? Tak mahu lagikah dia ke sini, berbual bersamaku sambil memuji langit ciptaan Ilahi? Hatiku terasa gusar. Ingin sahaja kuluahkan apa yang terbuku di hatiku. Luahkan perasaanku yang sudah terpaut padanya.

Namun, suaraku bagaikan tersekat di kerongkong. Aku tak cukup bersedia! Aku tak cukup bersedia untuk mengucapkannya. Aku takut, apa yang kurasa ini tidak sama dengan apa yang Nur rasa. Kalau Nur menolak cintaku, aku tidak pasti, apakah hubungan kami akan kekal sebagai kawan seperti kini? Semestinya rasa malu yang menebal membuatkan aku tidak selesa lagi untuk berjumpanya. Keadaan akan menjadi canggung!

Tak! Aku tak sanggup. Aku tak sanggup kehilangan Nur. biarlah rasa hati ini ku simpan dahulu.

 Biarlah takdir yang memberi jawapannya.





“Fad, Fad” dari jauh kulihat Shafiq berlari menuju ke arahku. Dia memegang bahuku, sedikit termengah-mengah. Waktu itu, aku baru usai menukar kasutku, bersedia untuk mengikuti latihan bola bersama sahabatku yang lain.

“kenapa Fiq? Seperti dikejar hantu saja!?” soalku.

“hari tu, kau pernah tanya aku tentang gadis nama Nur Syazana kan?” soalan Shafiq agak menghairankanku. Kenapa tiba-tiba sahaja dia menyentuh hal berkenaan aku dan Nur? serasaku, tak pernah pula dia ambil peduli tentang itu selama ini.

“Nah, baca artikel ini. aku jumpanya dalam bilik guru, sewaktu membantu Cikgu Haris menyusun buku,” dia menyerahkanku satu artikel yang kelihatan agak usang. Lantas, artikel itu bertukar tangan. Kubaca kandungan artikel tersebut.

Aku tergamam. Nadiku seolah-olah berhenti. Seluruh tubuhku menggeletar. Benarkah apa yang terpampang di sini? Tapi semua ini agak mustahil! Lantas, aku berlari menuju ke blok belakang,pantas mataku mencari susuk tubuh Nur.

Ternyata Nur masih di tempat biasa. Menyedari kehadiranku, dia berpaling sambil mengulum senyuman. Aku hanya diam. Melihatkan matanya yang bersinar dan senyuman manisnya itu membuatkan aku hanya mampu terus membisu. Aku buntu! Segalanya seakan-akan di luar realiti!! Ahh,, hatiku pedih!

“kenapa ni?”  Nur memandang artikel yang kupegang. “apa itu?” Perlahan-lahan dia menarik artikel itu dari tanganku. Kulihat, riak wajahnya mula berubah setelah membaca artikel tersebut.

“betulkah? Tapi...” kulihat tangan Nur terketar-ketar. Wajahnya yang selama ini tenang kelihatan keliru. Aku sendiri menjadi hairan, masakan dia sendiri tidak menyedari akan kewujudannya? “Nur...” aku menyeru lembut namanya. Ada air jernih menitis dari lopak matanya. Aku diburu rasa bersalah.

Nur berlari meninggalkanku. Aku cuba mengejar, namun sewaktu menuruni anak tangga, kakiku tergelincir sebelum badanku terhempap jatuh ke lantai konkrit. Kepalaku terasa berdenyut-denyut. Aku cuba memanggil Nur namun suaraku bagaikan tersekat di kerongkong. kulihat bayang Nur yang semakin menjauh... seakan cahaya yang makin menghilang.


Segalanya gelap.




Aku membuka mata. Cahaya lampu yang terang menyilaukan mataku.  Coach pasukan bolaku, cikgu Razif sedang tersenyum. Abah dan mama juga berdiri di birai katilku. Di satu sudut, kulihat Shafiq sedang merenungku, sambil berpeluk tubuh. Aku meraba-raba kepalaku. Berbalut. Apa yang telah berlaku? Aku kurang pasti. Tiba-tiba mindaku bergerak pantas, seolah-olah melintasi ruang waktu. Kejadian tadi terulang di benakku.

“Fadlan okey? Tak perlu risau, kepala kamu hanya luka ringan. Mujur Shafiq menemuimu tadi. Segera kami bawa kamu ke hospital.  Sebenarnya apa yang telah berlaku di blok belakang tadi?” Cikgu Razif memegang bahuku.

Lidahku kelu. Bagaimana harus kuceritakan semua ini. pasti semua orang akan menganggapku gila. Tapi aku pasti! Nur benar-benar wujud. Bukan pernah wujud namun masih lagi wujud. Perlukah semua ini kubongkar? Mahukah mereka percaya kata-kataku?

“saya....”

“maaf, saya tak ingat.” Bohongku.

Aku tunduk, tidak mampu menentang mata-mata yang sedang memandangku kini.

Beberapa ketika kemudian, masing-masing keluar dari bilik hospital, tinggallah aku dan Shafiq, masih diam tidak berkutik. Suasana sepi menyelubungi kami.

Masih lagi sepi. Aku tidak tahu bagaimana untuk bersuara. Lantas, aku berpaling, menghadap tingkap yang separuh terbuka. langit yang tadinya biru semakin menjingga. Sang mentari juga mula mengudur diri di balik bukit. Burung-burung beterbangan, kembali ke sarang di celah-celah rimbunan pohon. Senja.

“aku tak gila. Aku pasti, Nur itu bukan khayalan semata. Nur bukan hantu. Nur bukan roh!” aku memecah keheningan. Suaraku agak kutekan sedikit di hujung bicara.

Dari ekor mata, kulihat Shafiq melepaskan keluhan berat. Pelahan-lahan dia melangkah ke birai tingkap. Merenung ke luar juga.

“Nur Syazana... pelajar tingkatan empat, 5 tahun yang lepas. Cantik, ramah, lembut.mayatnya dijumpai di blok belakang oleh pengawal keselamatan. Tiada siapa yang tahu sebab sebenar. Ada yang kata dia dibunuh,” Shafiq mengulangi kandungan artikel tersebut. Mengingatkan wajah Nur yang terpampang pada muka artikel membuatkan badanku menggeletar.

Aku menggeleng. “Tak! Tak mungkin! semuanya luar logik akal! Aku tak gila untuk bercakap dengan hantu! Karut! Semua ni mengarut”

Perlahan lahan air mataku mengalir jatuh. Bahuku terhenjut-henjut menahan sendu. Shafiq duduk di sebelahku, cuba menenangkanku. Hatiku sakit! Sakit sangat. Kenyataan yang harus kutempuh di luar kemampuanku. Jauh, di sudut hatiku, aku berharap semua ini hanyalah mimpi semata-mata. Itu lebih baik untukku yang kini terpaksa mengusung memori ini.





HUJAN lebat mulai reda, meninggalkan lopak-lopak air pada lantai bumi. Awan mendung berarak pulang. Pohon-pohon basah menitiskan air di hujung daun. Lalang-lalang yang juga kebasahan tunduk menyembah bumi, tidak lagi menari seperti petang-petang lepas. Dan, aku masih lagi di situ, berseorangan mengutip cebisan-cebisan kenangan yang Nur tinggalkan. Di blok ini juga, aku menatap mentari seperti kebiasaan Nur lalui. Setiap hari, setiap petang. Hatiku memuji kuasa ciptaan Ilahi. Rasa kagum yang Nur tinggalkan seolah-olah meresap ke dalam jiwaku, menjadi sifat yang secara langsung tidak kusedari. Mentari senja mula meniti dikaki bukit, semakin tenggelam, membawa bersama ‘nur’ yang makin hilang.






No comments:

Post a Comment